Beberapa hari sebelum Karnival Upin & Ipin pada minggu lepas, saya dah bagitahu kakak sesiap yang saya nak bawa anak dia, Qaseh ke Karnival Upin & Ipin tu. Karnival Upin & Ipin 2017 berlangsung selama 3 hari dari Jumaat 24 November 2017 sehingga Ahad 26 November 2017, bertempat di MAEPS, Serdang. Memandangkan saya sudah ada arrangement lain pada hari Sabtu, jadi saya bercadang untuk bawa Qaseh ke Karnival Upin & Ipin pada hari Jumaat. Lagipun pergi hari pertama karnival, mesti orang tak ramai sangat macam hari Sabtu dan Ahad. Itulah logiknya. Qaseh pun selalu cakap sejak cikmie kerja, cikmie dah sibuk tak ada masa untuk Qaseh dah. Alahai, rindu nak bermanja dengan cikmie la tu. Makanya takpe lah, saya apply cuti untuk hari Jumaat tu, bawa dia ke Karnival Upin & Ipin. Just the two of us, kira macam bonding time lah. Almaklum, Qaseh ni membesar depan mata saya. Saya pernah tinggal dengan dia sejak dia baby sehingga usia 2 tahun lebih. Memang dalam ramai-ramai anak saudara, dia yang paling rapat dengan saya. Saya ni la teman bermain dia masa dia kecil. Now dah 4 tahun dah usia Qaseh. Qaseh tanya kenapa tak bawak adik dia sama? Haha maaflah, adik awak tu kecik lagi. Nanti dia menangis cari mama, kelam-kabut cikmie awak ni nanti. Risau jugak nak bawak anak orang keluar jalan-jalan tanpa mama papa dia ni. Mama papa nya pulak awal-awal lagi duk pesan macam-macam. Risau sangat takut kita tertinggal anak dia kat mana-mana, hahaha.
Naik tram untuk ke dewan
Dah sampaiii
Harga Tiket Karnival Upin & Ipin 2017
Masa kami sampai tu belum ramai orang lagi. Beratur dapatkan tiket pun tak lama. Harga tiket Karnival Upin & Ipin untuk dewasa adalah RM40 (RM10 untuk Dewan A + RM30 untuk Dewan C). Nak beli tiket untuk satu dewan sahaja pun boleh. Tapi dah alang-alang ke sana, masuk jela dua-dua dewan. Untuk Qaseh pula, tiket percuma sebab Qaseh baru berusia 4 tahun. Kalau tak silap, Karnival Upin & Ipin ni memang diadakan setiap tahun sebab dulu masa Qaseh kecik kami pernah pergi ke Karnival Upin & Ipin. Tapi masa tu tak best sangat sebab Qaseh masih baby lagi, haha.
Dewan C (Dewan Magik)
Kat Dewan C ni kita boleh tengok sendiri disebalik tabir pembikinan Upin & Ipin, set penggambaran Rumah Opah, Alam Dino, Rumah Nenek Kebayan dan macam-macam lagi. Kat sini ada banyak tempat best untuk tangkap gambar. Dalam Dewan C, ada 2 bilik studio untuk kita rakam suara kita menyanyi lagu Upin & Ipin. Dengan bayaran RM15, kita boleh dapatkan hasil rakaman tu yang dimasukkan ke dalam pendrive Upin & Ipin. Saya punya la excited nak Qaseh menyanyi, tapi Qaseh ni pemalu sangat. End up makcik Qaseh ni ha yang menyanyi sorang-sorang.
Lepas tu kami proceed bergambar dekat Tadika Mesra dan Rumah Opah.
Dalam Rumah Opah tu, kita boleh masuk dan tengok sendiri keadaan rumah tempat Upin & Ipin membesar. Ruang tamu, bilik tidur, meja belajar Upin & Ipin, dapur. Ada pekerja kat situ boleh tolong kita tangkapkan gambar. Tapi pekerja yang ada masa tu semua lelaki. Si Qaseh ni pemalu lebih-lebih pulak, so dia cepat-cepat ajak keluar haha. Dia segan bila brader tu tengok dia bergambar. Adoii, anak sedaranya pun pemalu sangat. So sempat bergambar kat ruang tamu dan kat tangga je.
Ruang tamu rumah opah
Bila jalan sikit lagi, ada beberapa ekor dinosaur besar. Dinosour ni siap ada sound effect dan kepala bergerak-gerak. Qaseh ni dah la penakut. Penat nak yakinkan dia untuk bergambar. Sempat bergambar kejap je, lepas tu dia buat muka cuak nak menangis bila kepala dinosaur tu bergerak-gerak macam nak makan dia. Hahahaha omg, kelakar Qaseh ni.
Kat sebelah tu ada Rumah Nenek Kebayan. Kalau Dinosour tu Qaseh dah takut, jangan kata dia berani la nak dekat dengan Rumah Nenek Kebayan. Tak nak pergi dekat langsung! Jalan ke belakang sikit ada macam mini stage, ada robot kecik menari-nari. Ralit Qaseh tengok robot tu menari. Habis robot menari, dia laju je pergi ke dinding tempat mewarna. Mewarna ni memang hobi dia. Kalau jalan sikit lagi, ada persembahan wayang kulit. Tapi masa tu persembahan belum mula lagi, Qaseh dah ajak jalan. Macam-macam aktiviti boleh buat kat Dewan C ni. Itu antara beberapa aktiviti yang kitorang sempat buat.
Dewan A (Dewan Utama)
Dekat Dewan A, ada persembahan pentas dengan LCD besar, tempat jualan, tempat bergambar, beberapa permainan &, aktiviti menarik, dan tempat makan. Kebetulan masa kami masuk ke Dewan A, maskot Upin & Ipin serta rakan-rakan tengah buat persembahan kat pentas. Selain persembahan Upin & Ipin, ada juga persembahan Ultraman Ribut, Puteri Limau, dan Pada Zaman Dahulu. Tapi kami sempat tengok persembahan Upin & Ipin je. Untuk persembahan lain tu, kami tak tunggu pun, sebab Qaseh nampak dah penat masa tu. Kang dibuatnya penat sangat, nanti dia mengantuk dan tak mau jalan memang terpaksa berdukung la jawabnya. Tidak ku sanggup, hahahha Qaseh berat kot. Tapi banyak jugak persembahan Upin & Ipin yang sempat kami tengok. Suka betul Qaseh, lagi-lagi bila dapat bergambar dengan maskot Upin & Ipin. Bukan setakat dapat bergambar, dia siap peluk & salam lagi dengan maskot-maskot yang ada.
Video ni je lepas nak upload ke sini.
Lepas habis persembahan sesi pagi, aktiviti pentas break untuk memberi laluan untuk solat Jumaat. Masa tu la kami berjalan pusing sekitar Dewan A. Ada pelbagai aktiviti dan permainan. Tapi Qaseh ni lebih berminat nak bergambar dan nak beli barangan Upin & Ipin. Bawak Qaseh pusing-pusing tengok gerai jualan. Banyak jugak yang dibeli. Tapi nasib baik dia dah banyak patung Upin Ipin kat rumah, jadinya dia banyak beli barangan Puteri Limau. Kakak yang baik betul Qaseh ni, siap bagitahu sesiap kalau nak beli, mama pesan suruh beli 2 yang sama. Satu untuk Qaseh, satu untuk adik. Kalau beli tak sama, nanti berebut! Penuh jugak la tangan nak bawak barang-barang yang dibeli. Tapi yang bagusnya Qaseh ni tiap kali berkenan nak sesuatu, dia tanya dulu boleh tak nak beli yang tu? Kiranya dia takde la mengamuk mintak belikan juga kalau kita tak bagi. Ada gerai jualan makanan, tapi Qaseh tak nak. Masih kenyang katanya sebab pagi sebelum datang, dia dah makan nasi sesiap.
Persembahan Upin & Ipin
Tanya dia, Qaseh kita dah boleh balik ke? Mula-mula dia taknak balik lagi, tapi pujuk sikit then dia setuju nak balik. Bukan apa, muka dia nampak penat dah masa tu. Keluar dari Dewan, ada lagi gerai jualan aiskrim, dan beberapa gerai jualan lain. Ya Allah baiknya si Qaseh ni. Bila kita pelawa nak belikan dia aiskrim, dia jawab “Mama cakap Qaseh tak boleh makan aiskrim, nanti Qaseh batuk”. Haha ikut betul ye cakap mama. Mama bukan ada pun kat situ.
Nampak maskot Grolier, laju dia suruh ambik gambar